Pages

Sunday, 18 October 2015

TIP MUDAH MEMASAK BAGI WANITA BEKERJA

TEKS : RAFIDAH BINTI ALI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Khas untuk wanita-wanita bekerja yang sibuk tetapi berkeinginan memasak untuk keluarganya. Di sini saya berikan beberapa tip yang boleh diguna pakai untuk panduan puan-puan.

1) Rancang menu untuk seminggu, senaraikan menu beserta hari untuk masak contoh hari isnin masak ikan asam pedas dan sayur kankung belacan, selasa dan hari seterusnya senaraikan menu apa yang ingin dimasak supaya senang masak ikut jadual dan tidak perlu pening-pening fikir menu hendak masak apa.

2) Kupas bawang merah, bawang putih, halia dan kunyit siap-siap stok untuk seminggu.  Kemudian masukkan kedalam bekas dan labelkan mengikut hari supaya senang, apabila hendak masak terus ambil bekas tersebut.  Tip kalau boleh tidak payah hiris-hiris bawang tersebut untuk menjaga kesegaran dan kesihatan kita.

3) Blender cili kering banyak-banyak supaya memudahkan untuk kita masak.  Semasa blender cili kering masukkan garam sedikit supaya cili blender tersebut tidak cepat masam dan petuanya lagi masukkan cili blender ke dalam bekas tidak bertutup dan di masukkan ke dalam peti ais.  Ini kerana jika menutup bekas tersebut akan menyebabkan bekas akan berair  dan mudah cili blender masam.

4) Memasak sesuatu jenis lauk seperti ikan, daging atau ayam dalam kuantiti yang banyak.  Sebaik sahaja selepas masak terus di masukkan ke dalam bekas-bekas bertutup seperti  tupperware dan biarkan sejuk sebentar kemudian dimasukkan ke dalam peti ais bahagian sejuk beku.  Makanan begini sangat sesuai jikalau tiada masa hendak masak boleh terus panaskan lauk tersebut.

5) Pastikan juga stok makanan senang di masak yang menjadi kegemaran seisi keluarga sentiasa ada di rumah  seperti telur, sardin dan sebagainya.  Masakan lauk begini mudah, senang dan cepat dimasak.

6) Sediakan juga bahan rencah yang siap dipotong kecil seperti ayam, daging, sotong dan lain-lain kemudian  dimasukkan ke dalam bekas bertutup dan dimasukkan ke dalam peti ais bahagian beku.  Bahan-bahan ini boleh digunakan untuk rencah nasi goreng, mee goreng dan lauk-lauk lain.

7) Pastikan setiap pagi sebelum bergerak pergi ke tempat kerja, keluarkan bahan masakan dari peti ais bahagian beku ke bahagian sejuk biasa mengikut menu yang hendak dimasak.  Ini supaya senang apabila waktu petang semasa kita hendak masak bahan tersebut telah lembut.

8) Keluarkan bahan yang perlu sahaja semasa memasak pada hari itu supaya kita tidak serabut kepala dengan bahan yang banyak di depan mata.

9) Rancang memasak supaya masa digunakan sepenuhnya, kita kena bijak mengendalikan dapur seperti sambil mengoreng ikan kita memasak nasi, sementara tunggu kuah masakan siap kita boleh membersihkan dapur, sinki dan meja.  Oleh itu siap masakan dan siap kita mengemas dapur.

Thursday, 15 October 2015

SARDIN HOMEMADE


TEKS : RAFIDAH BINTI ALI
FOTO : RAFIDAH BINTI ALI

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Jom kita buat sardin sendiri di rumah

Bahan-bahannya
10 ekor ikan sardin (Dibuang kepala dan ekor)
5 biji tomato segar
1/2 cili boh dari bungkusan yang kecil (terpulang ikut selera masing-masing)
10 sudu besar sos tomato
1 biji bawang besar-potong bulat
3 biji bawang putih-hiris nipis
2 inci halia-hiris tipis
10 biji cili padi
1/2 mangkuk air asam jawa

Cara-caranya
1) Tamato di blender bersama cili boh dan sos tomato (Tidak perlu letak air)
2) Kemudian masukkan bahan blender dan ikan ke dalam periuk Noxxa
3) Setkan masa "High Pressure" 90 minit
4) Selepas tamat "High Pressure" bebaskan tekanan dan wap, kemudian buka penutup periuk.
5) Di kuali lain tumiskan bawang besar, bawang putih, halia dan cili padi, kemudian masukkan ke dalam periuk Noxxa.
6) Akhir sekali masukkan air asam jawa dan garam biarkan sehingga mendidih dan masak.

Sedap dimakan bersama-sama nasi panas dan selamat menjamu selera.  Puan-puan akan mendapat hasil yang memuaskan sama seperti sardin di dalam tin.  Isi ikan dan tulang ikan yang begitu lembut serta bau yang menyelerakan.  Pasti memukau selera masing-masing.  Tetapi dengan syarat puan-puan dan tuan-tuan mesti ada periuk tekanan seperti periuk Noxxa baru lah boleh membuat sardin di rumah.  Sardin tersebut juga boleh dibuat sejuk beku dengan dimasukkan ke dalam bekas-bekas plastik dan dibekukan.  Senang apabila hendak masak tinggal ambil dan panaskan sahaja.  Boleh buat banyak dan jadikan stok menu harian kita.

SELAMAT MENCUBA!

Thursday, 8 October 2015

DAGING MASAK KICAP PEDAS 45 MINIT


TEKS : RAFIDAH BINTI ALI
FOTO : RAFIDAH BINTI ALI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Alhamdullilah hari ini saya akan kongsikan resepi pertama saya.  Daging masak kicap pedas, ini merupakan makanan kegemaran suami saya.  Dia suka masakan kering-kering.  Maka terhasil lah masakan ini untuk tersayang saya.  Di sini saya akan sertakan resepinya sekali untuk rujukan puan-puan.

-1/2 kg Daging
-2 inci Halia (Saya suka lebihkan halia)
-3 biji bawang merah
-2 ulas bawang putih
-10 biji cili padi hijau
-1 biji Bawang besar dipotong bulat
-7 batang kacang buncis
-2 biji lada besar merah
*Halia, bawang merah, bawang putih dan cili padi hijau ditumbuk.
-1/2 sudu teh garam
-1 sudu teh serbuk kunyit
-1 sudu teh serbuk lada sulah
-2 sudu besar sos tiram
-2 sudu besar kicap manis

Cara-caranya
-Daging ketulan besar direbus hingga empuk.(Jika mengunakan periuk Noxxa 30 minit sahaja)
-Selepas empuk dagingnya dihiris nipis-nipis, gaulkan dengan garam, serbuk kunyit dan serbuk lada sulah.  Kemudian digoreng dengan sedikit minyak.
-Selepas daging garing, angkat dan ketepikan, kemudian tumis bahan ditumbuk/diblender hingga garing.  Kemudian masukkan sos tiram dan kicap manis.
-Seterusnya masuk kan daging, bawang besar, kacang buncis dan lada besar merah. Gaul hingga rata dan masak.

Akhir sekali boleh dihidangkan bersama nasi panas.  Terangkat rasanya bila makan pedas-pedas dan panas.  Ini jikalau kita mengunakan periuk noxxa cepat lah ia masak dan memendekkan masa kita semasa di dapur.  Kiraan masa saya dalam 45 minit dapat menyiapkan masakan ini.  Macam ini tidak payah pening-pening kepala apabila disuruh masak daging secepat ini.



TIP MEMASAK

TEKS : RAFIDAH BINTI ALI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Sebagai seorang ibu, pastinya mengimpikan untuk memasak setiap hari kepada keluarganya.  Memasak dirumah secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim keluarga dimana kita akan berkumpul di satu meja makan.  Selain itu juga, ianya dapat memikat hati suami dan anak-anak kita.  Pastinya seronok kan dan hati berbunga-bunga apabila  en suami dan anak-anak memuji masakan kita.  Mesti akan rasa hendak masak hari-hari untuk mereka.  Walau bagaimanapun, kekadang disebabkan kekangan masa seperti balik kerja sudah lewat, melayan kerenah anak, traffic jem dan macam-macam lagi, kita tidak dapat menunaikan permintaan itu.  Jiwa kita pasti meronta  acap kali jika persoalan daripada anak-anak dan en suami menayakan “Mama tidak masak ke hari ini?.  Mesti akan ada macam-macam perasaan bermain disanubari kita.

Memasak juga merupakan satu terapi minda kepada kita dan juga satu senaman dimana semasa memasak banyak pergerakan otot-otot yang akan kita lakukan.  Bagi ibu-ibu yang sibuk bagus rebut peluang ini.  Biasanya apabila sudah terlewat pulang ke rumah pastinya menu masakan ringkas menjadi pilihan kita.  Seperti yang saya janjikan dalam nukilan saya sebelum ini, saya akan kongsikan beberapa tip dan resepi memasak dengan mudah dan cepat.  Walaupun masakan yang memakan masa lama, saya cuba ajarkan cara pendekkan masa.  Tidak perlulah duduk lama-lama didapur dan berjurai peluh menunggu masakan siap.  Masa yang lebih itu boleh kita peruntukan untuk anak-anak dan suami.  Terlebih dahulu saya akan kongsikan beberapa tip untuk dijadikan panduan dan ingatan kepada semua yang suka memasak.

-Pastikan bahan masakan yang dipilih mestilah segar, kerana bahan-bahan mentah yang segar akan menghasilkan mutu masakan yang sedap dan sihat tanpa perlu menambah perasa tambahan.
-Pastikan pisau yang digunakan tajam, supaya tiada kecederaan berlaku.
-Menyediakan peralatan seperti kuali atau periuk bersesuai mengikut jenis masakan.
-Pastikan kepala kita bertutup supaya tiada rambut jatuh ke dalam makanan.
-Kuku pastikan dalam keadaan bersih.
-Memakai Apron supaya baju tidak kotor.
-Pastikan anak-anak kecil tiada berada sama semasa kita memasak.
-Pastikan dapur dibersihkan selepas digunakan untuk memasak.
-Keselamatan mesti diutamakan terutama pada bahan panas dan api.
-Sentiasa berselawat dan berzikir.

Sekian sahaja beberapa tip yang boleh diguna pakai semasa berada di dapur puan-puan.  Dengan beberapa tip ini menjadikan kita lebih teliti dan berhati-hati semasa di dapur supaya tiada kemalangan tidak diduga berlaku.

Thursday, 1 October 2015

PENGENALAN DIRI

TEKS : RAFIDAH BINTI ALI

Alhamdullilah dan syukur ke hadrat Ilahi, dengan izinnya dapat saya bertemu Puan Anys Idayu Zakaria dan cetusan  idea darinyalah permulaan penulisan  blog ini.

Terlebih dahulu saya perkenalkan diri saya, nama penuh saya Rafidah binti Ali.  Anak kepada pasangan  Ali bin Ahmad dan Hasnah binti Atan(arwah).   Ayah saya merupakan seorang peneroka Felda dan saya dibesarkan di Felda Kahang Timur.  Kini usia saya 32 tahun, sudah berkahwin dan belum dikurniakan anak(mungkin akan datang).  Buah hati cinta saya Ramli Bin Dawa berasal dari Kg Menunggui  Kota Belud Sabah.

Saya mendapat pendidikan awal  di sekolah Tadika Felda Kahang Timur(tahun 1989), seterusnya ke Sekolah Kebangsaan Felda Kahang Timur(tahun 1990-1995).  Kemudian ke Sekolah Menengah Felda Kahang  Timur(tahun 1996-2000).  Selepas PMR saya megambil  aliran perakaunan, masa itu minat perkara yang  berkaitan nombor dan kira-kira.  Seterusnya saya melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam dalam aliran sastera, masa itu di sekolah itu tiada aliran perakaunan.  Saya bersekolah di bandar Sekolah Sultan Abdul Jalil Kluang(tahun 2001-2002).  Di tingkatan enam inilah pertama  kali saya sekelas dengan ada cina, india dan melayu, terasa macam baru terbuka minda dan terkeluar daripada kepompong biasa.  Pada tahun 2003 saya berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti  Utara  Malaysia(UUM) dalam kos kewangan selama  3 tahun (2003-2006).  Saya berjaya memperolehi Ijazah Kewangan dengan Kepujian.

Selepas daripada itu maka bermulalah  episode jatuh bangun dalam mencari-cari pekerjaan.  Saya memilih untuk mencari kerja di Kuala Lumpur(KL), masa itu saya menumpang teduh di rumah makcik saya di Pantai Dalam KL.  Minat saya hendak kerja bank sebab suka pegang dan kira-kira duit.  Maka berpuluh-puluh resume saya hantar ke semua bank.  Alhamdullilah semua panggil datang temuduga  tetapi  jawapan selepas itu semuanya amat mendukacitakan.  Walau bagaimanapun hidup mesti diteruskan, duit poket makin susut(duit  yang diberikan oleh ayah, abang dan kakak) tetapi  kerja belum diperolehi.  Dengan rasa terpaksa saya bekerja di  Jusco midvalley sebagai promoter (kontrak 3 bulan).  Habis kontrak tercari-cari kerja lain pulak dapatlah kerja di farmasi sebagai pembantu jualan(dalam hati rasa ok lah daripada tiada kerja).

Terasa bosan pulak kerja di farmasi sebab gaji kecil dan saya berhenti kerja.  Selepas sebulan menganggur, saya amat berterima kasih dengan makcik saya sebab carikan saya kerja.  Kerja sebagai penyelia teksi (dalam hati Ya Allah kenapalah aku dapat kerja-kerja  yang biasa sahaja, orang lain semua sudah dapat kerja yang bagus-bagus).  Dalam keterpaksaan juga, saya melangkah pergi ke kerja dengan memakai baju putih, seluar hitam dan tudung hitam(macam pakaian promoter ).  Masa itu saya diberi tugas sebagai penyelia teksi di KL Hilton Hotel.  Tugasan harian saya menerima tempahan teksi, mengurus teksi, mengumpul duit daripada pemandu teksi , pelanggan & hotel.  Seronoknya dapat pegang duit macam kerja yang saya mahukan walaupun bukan kerja bank.

Tanpa disangka-sangka juga,  saya terjumpa suami saya, pada masa itu dia hanya sebagai pemandu teksi  walaupun ada sijil pembantu kimia ubat.  Kami berkenalan dan pada febuari  2011 kami sepakat untuk diijabkabulkan.  Kenapa saya memilihnya sebab saya nampak dia sangat berwawasan dan berpandangan jauh.  Dia juga  yang menyuruh saya berhenti kerja sebelum kami berkawin.  Katanya saya sepatutnya boleh jadi seseorang dengan kelulusan yang saya ada.  Apa yang dia nampak dan hormat saya katanya, saya tidak malu melakukan apa kerja sekalipun walaupun ada kelulusan ijazah.  Katanya saya sangat sesuai untuk dijadikan rakan kongsi perniagaan.

Selepas berkahwin, idea perniagaan belum muncul apa yang kami hendak buat.  Walau ada sekalipun semuanya separuh jalan.  Keterujaan untuk teruskan tiada.  Sehinggalah pada pada tahun 2012 majikan lama saya memberikan peluang untuk menguruskan teksinya.  Bermula dari sebuah teksi dan kini menjadi  15 buah teksi.  Kesemua teksi-teksi tersebut telah kami beli daripadanya.  Kemudian  kami sewakan teksi tersebut kepada penyewa dengan sewa harian.  Pada tahun 2013, alhamdullilah kami berjaya membuka bengkel baikpulih kenderaan.  Tujuan utamanya, adalah untuk baiki teksi kami.  Tetapi lama kelamaan semakin ramai orang luar datang ke bengkel kami.  Tugasan setiap hari saya merekod mencatat bayaran sewa teksi(hanya dilakukan melalui online sahaja), menjawab panggilan keluar masuk, menempah barang ganti kereta, membuat pembayaran dengan pembekal, memperbaharui cukai jalan dan membawa teksi-teksi ke puspakom untuk pemeriksaan kenderaan.  Alhamdullilah, sekarang ini  dah melangkaui lebih 3 tahun kami dalam perniagaan teksi dan 2 tahun dalam perniagaan bengkel baikpulih kenderaan.  Alhamdullilah juga pembayaran pembelian beberapa buah teksi habis tahun ini.

Syukur, syukur, syukur, alhamdullilah, setiap apa ujian yang Allah beri kepada kita tidak sia-sia semuanya ada hikmah dan perancangan rapi dari Allah SWT.  Allah SWT menemukan saya dengan suami saya,  beliau orang penting yang menyokong mendorong saya ke arah perubahan.  Sesuatu yang  tidak pernah terlintas di fikiran saya berniaga.  Bidang yang di ceburi sewa teksi dan bengkel baikpulih kenderaan.  Terasa pelik tetapi apabila melaluinya saban tahun ini sesuatu bidang yang menarik rupanya.  Mengendalikan sewa teksi dan bengkel baikpulih kenderaan menemukan saya dengan pelbagai kerenah manusia.  Maka timbullah perasaan ingin membantu ramai orang.  Kebanyakan yang  datang kepada kami penuh dengan pelbagai masalah, kami umpama kaunselor kepada mereka.   Kami memberikan pertolongan walaupun sebenarnya kami juga berhadapan masalah.  Satu pelajaran yang saya dapat jika kita tolong orang dengan ikhlas tanpa harapkan ganjaran Allah akan dating membantu kita pula.  Selama 3 tahun lebih dalam perniagaan apa yang saya rasakan apabila berhadapan sekecil-kecil hingga sebesar-besar masalah semuanya ada jalan penyelesaian.   Apa  yang perlu kita buat, kena banyak bersabar.  Sabar itu indah kerana banyak perkara manis yang kita akan perolehi.  Niat berniaga kita juga kena betul bukan kerana wang tetapi kepada tolong orang.  Perniagaan ini lebih kepada membantu suami sebenarnya.

Walaupun sudah mempunyai dua jenis perniagaan , tetapi saya masih tercari-cari perkara yang saya suka buat dan minat.  Saya suka masak, sekarang ini saya sudah dapat formula memasak dengan cepat dan pantas.  Ianya sangat membantu ibu-ibu yang kekurangan masa dan sentiasa sibuk.  Saya akan kongsikan tip-tipnya pada akan datang serta pengalaman-pengalaman yang saya perolehi.

Kenapa saya menyertai ABDR? Kerana saya ingin menambah ilmu berblog, mempunyai  blog yang ada arah tuju dengan sokongan tenaga pengajar  yang berpengalaman.  Di samping itu, blog ini  sangat sesuai untuk saya yang banyak menjalankan urusan melalui online tanpa mengabaikan perniagaan sedia ada.